Thursday, July 24, 2008

24 Julai: Hilangnya Mutiara Dakwah Nusantara

Tanggal 24 Julai telah memahat sejarah kehilangan mutiara dakwah nusantara. Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih masyhur dengan gelar Buya HAMKA meninggalkan dunia fana ini untuk mengejar impiannya di akhirat yang kekal dan nyata. Sekalipun lahirnya di Desa Minang, Indonesia namun dirinya telah menjadi ikon yang disegani dan disayangi oleh seluruh nusantara. Beliau adalah tokoh yang jarang-jarang kita jumpai, malah tiada pengganti.

Pemula hidup Buya HAMKA tidak langsung mencerminkan bahawa beliau akan jadinya seorang tokoh dakwah yang sohor namanya. Sekalipun merupakan anak kepada Shaikh Karim Amrullah yang merupakan tokoh gerakan Islam daripada kaum muda, Buya HAMKA tidak langsung menunjukkan ciri-ciri seperti ayahnya kecuali yang tampak daripada beliau akan kepintaran akalnya.

Namun, titik perubahan kehidupan Buya HAMKA bermula tatkala beliau makan hati akan teguran pedas ayahnya yang tidak lagi menaruh harapan pada beliau sehingga sanggup mengeluarkan kata bahawa beliau adalah anak yang tak berguna. Namun, inilah yang dikatakan perancangan Allah. Atas kerana itu, Buya HAMKA membawa diri lari daripada rumah, lari daripada desanya dan lari daripada tanah airnya. Merantau ke bumi suci Mekah dengan hanya diketahui oleh bapa saudaranya yang membiayainya.

Di bumi Mekah, Buya HAMKA memanfaatkan kepintaran akalnya dengan sebaiknya. Beliau tidak segan bertandang daripada tinag ke tiang mengikuti pengajian tidak formal, menuntut di bawah tunjuk ajar Shaikh-Shaikh yang ada di Masjid al-Haram. Sambil pula berkerja di kedai buku, sambil menyapu, buku-buku yang ada tidak dilepaskan dari dikhatamkan. sesungguhnya, perjalanan seorang permata-mutiara dakwah sudah bermula. Di sinilah, beliau dididik oleh Allah untuk menuruti sunnah-Nya yang sudah pasti dan tentu.

Buya HAMKA kembali ke Indonesia dengan dada yang dipenuhi ilmu. Malah, yang menjadikan beliau unik daripada mana-mana pelajar Indonesia yang mengaji di Mekah, diri Buya HAMKA rupa-rupanya sudah dari dahulupun sememangnya mempunyai kehalusan hati-jiwa nurani. Maka itu, ilmu yang dituntunta disulamkan pula dengan kehalusan pekertinya dan jiwanya sehinggakan menawan hati setiap mad'u yang didekatinya.

Buya HAMKA terus menerus mejadikan dirinya seorang pendakwah yang sohor dan amat berbeza dengan mana-mana pendakwah yang pernah lahir di bumi nusantara ini. Buya HAMKA hadir dengan gelar pendakwah-sasterawan. Beliau tidak lekang daripada mesin taipnya mengetip-ngetip satu demi satu huruf, meluahkan segala yng dirasainya dengan bekal ilmu yang saban masa ditambahi dengan minatnya yang mendalam kepada buku untuk dibaca.

Buya HAMKA, sekalipun telah melaui onak duri di dalam berdakwah. Naik gunung turun gunung. Masuk hutan, keluar hutan. Masuk penjara, keluar penjara. Tapi Buya HAMKA terus gagah menegakkan yang ma'ruf dan keadilan dan gagah jua menetang yang zalim dan kebatilan.

Benarlah pepatah Inggeris yang menyatakan; "When the going gets tough, the tough gets going". Melalui segenap mehnah dan tribulasi yang melanda, Buya HAMKA kekal di barisan hadapan dakwah. Dengan ilmu meluas, hikmah melangit, tidak hairan maka Buya HAMKA terus sahaja disegani dan disayangi oleh segenap manusia tidak kira kawan mahupun musuhnya.

Buya HAMKA... al-Faatihah.

sumber: CahaYa Serata Alam

Monday, March 31, 2008

SEMINAR PERINGATAN 100 TAHUN BUYA HAMKA

(Sila klik pada poster untuk membesarkan imej)

SEMINAR PERINGATAN 100 TAHUN BUYA HAMKA

TEMA:
Transmisi Keilmuan, Pemaknaan Agama dan Peran Keulamaan Buya HAMKA
HARI: SELASA / TARIKH: 8 APRIL 2008 / MASA: 8.00 - 14.00 WIB
TEMPAT: Ballroom, Hotel Atlet Century Park, Jalan Pintu 1, Senayan, Jakarta Selatan, Indonesia

UCAPUTAMA :
Dato' Seri Anwar Ibrahim - Transmisi Keilmuan, Pemaknaan Agama dan Peran Keulamaan dalam Masyarakat Madani di Asia Tenggara: Perspektif Masa Depan

PANELIS :
Prof Dr. Azyumardi Azra - UIN - Transmisi Keilmuan Buya HAMKA /
Prof. Dr. Julia Day Howell - Griffith University, Australia - Pemaknaan Agama Buya HAMKA / Prof. Dr. A. Syafii Maarif - Maarif Instute - Peran Keulamaan Buya HAMKA

SEMUA DIJEMPUT HADIR

Thursday, March 13, 2008

Wacana Hamka Siri 2/2008

Tarikh/Hari: 15 Mac 2008 /Sabtu

Tempat: Surau Anjung Rahmat
Anjung Rahmat, Batu 6
Jalan Gombak.

Masa: 10.30pagi - 3.30 petang

Bayaran: RM3.oo

Semua Peminat Hamka di jemput Hadir

Aktiviti yang akan dijalankan adalah diskusi peribadi Hamka dan induksi kelab. Peserta Wacana Hamka Siri 1/2008 amat diharapkan untuk hadir.

Friday, February 22, 2008

Wacana Hamka Siri 1/2008

Tarikh/Hari: 23 Februari 2008 /Sabtu

Tempat: Surau Anjung Rahmat
Anjung Rahmat, Batu 6
Jalan Gombak.

Masa: 9.00 pagi - 12.30 tengahari

Bayaran: RM3.oo

Pembentang:

Ahmad Naim Jaafar LLB (UIAM)

Sekarang bertugas sebagai peguambela/peguamcara di Firma Azmi & Associates
Seorang peminat dan pengkagum HAMKA
Membuat kajian-kajian tentang penulisan HAMKA
terutamanya novel-novel karya HAMKA

Semua peminat HAMKA di jemput hadir

Hubungi:
Nadmin-0193040498
Afham-0168004565

Buya Hamka - Tokoh Ilmuan Nusantara

HAMKA atau singkatan kepada Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir pada 17 Februari 1908 di sebuah desa kecil Sungai Batang, di tepi danau Maninjau Sumatera Barat. Pada 17 Februari 2008 yang lalu merupakan tarikh yang ke-100 sempena kelahiran beliau. Satu majlis ringkas mengingati tarikh kelahiran Prof. Dr. Hamka telah dianjurkan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) pada tarikh itu di Anjung Rahmat, Gombak. Tulisan ringkas saya ini akan menceritakan serba sedikit tentang tokoh ulama, pemikir, novelis serta pujangga Islam nusantara ini. Ramai yang masih kurang mengenali peribadi tokoh ini walaupun sering mendengar namanya mahupun sering merujuk Tafsir Al-Azhar karangannya. Sebelum itu, izinkan saya merujuk Prof. Dr. Hamka kepada Buya Hamka dalam tulisan saya ini. Ayah Buya Hamka, Abdul Karim Amrullah atau Haji Rasul adalah seorang ulama serta seorang penulis yang produktif. Datuknya, Amrullah juga seorang yang ulama yang berpengaruh di Minangkabau.

Buya Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia Buya Hamka mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ Buya Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. Buya Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo. Dalam usia 19 tahun, Buya Hamka melaksanakan ibadah haji ke Tanah Suci Mekah. Tindakan beliau ini ambil kerana beliau merasa kurang mendapat perhatian darpada ayahnya yang sibuk menguruskan pelbagai tugasnya sebagai pengajar di Thawalib. Buya Hamka berangkat ke Mekah tanpa memberitahu ayahnya, bahkan dengan wang yang hanya cukup untuk menyewa kapal dari medan ke Jeddah. Setelah kembali ke tanah air dia diterima oleh ayahnya dengan rasa terharu dan dinikahkan dengan seorang gadis bernama Siti Raham.

Buya Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Buya Hamka kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjawat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jawatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).

Buya Hamka adalah seorang serba boleh dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Buya Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

Buya Hamka juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, Hamka mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.

Pada tahun 1953, Buya Hamka dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Buya Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.

Kegiatan politik Buya Hamka bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota partai politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, Buya Hamka diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Buya Hamka dipenjarakan oleh Presiden Sukarno kerana dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakanlah maka beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, Hamka diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majeis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.

Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Buya Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Buya Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya yang pertama-tama yang beliau hasilkan ialah buku berjudul Si Sabariyah, ditulis dengan huruf jawi dan berbahasa Minangkabau. Si Sabariyah merupakan kisah benar seorang gadis bernama Sabariyah yang berkahwin dengan seorang pemuda bernama Pulai, Oleh kerana miskin, Si Pulai pergi merantau meninggalkan kampung sedang Sabariyah tinggal bersama ibunya. Kemudian ada lelaki kaya yang datang dari perantauan yang ingin mencari isteri. Rupa-rupanya ibunda Sabariyah ingin mempunyai menantu kaya namun Sabariyah menolak. Dalam keadaan seperti itu Pulai pulang dan mendengar perbicaraan keduanya yang ibu Sabariyah mendesak perceraian anaknya dengan Si Pulai. Dpendekkan cerita akhirnya Si Pulai membunuh Sabariyah sebelum membunuh dirinya sendiri. Selepas karya tersebut yang dihasilkan pada usia yang sangat muda serta mendapat sambutan, beliau semakin giat menulis dengan karya ilmiah. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar. Nama Al-Azhar diambil sempena nama Masjid Al-Azhar yang terletak berdekatan rumahnya di daerah Kebayoran Baru, Jakarta, di mana di situlah tempat beliau menyampaikan kuliah tafsir beliau. Antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.

Buya Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Kehormat Persuratan, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974 (disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Tun Abdul Razak); dan mendapat gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.

Buya Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura, turut dihargai.

Bersempena mengingati tarikh kelahiran ke-100 Buya Hamka, sebuah kelab pemikiran iaitu Kelab Pemikiran HAMKA di bawah GPTD telah ditubuhkan dan sebuah Program Wacana Pemikiran Hamka akan diadakan pada Sabtu ini 23 Februari 2008 bertempat di Dewan Seminar Anjung Rahmat, Gombak. Program bermula pada jam 8.30 pagi dan tamat jam 12.30 tengahari dengan bayaran seorang peserta RM3 sahaja. Penceramah jemputan ialah En. Ahmad Naim Jaafar (Peguam Korporat) dan En. Azhar Ahmad (Ketua Penolong Pengarah MITI). Kedua-dua mereka merupakan penggemar yang mendalami ketokohan dan karya Buya Hamka. Program ini terbuka kepada semua pecinta ilmu untuk sama-sama kita tingkat pengetahuan kita terhadap tokoh kesayangan kita ini. Wallahua'lam.

:: Rujukan untuk tulisan ini: Buku berjudul - Hamka dan Transformasi Sosial Di Alam Melayu (ABIM, DBP, UIA & UPM - 2001)

Tulisan oleh : Permata Hati (www.afhamjauhari.blogspot.com)